Abstrak
Gigitan dan gejala bisa dari ular Tedung Selar, Ophiophagus hannah melibatkan manusia adalah agak jarang berlaku. Bisa ular bertindak di bahagian pra-persimpangan saraf motor yang menyebabkan kelumpuhan otot. Sindrom terkunci atau “locked-in” adalah gejala klinikal dimana pesakit tidak berupaya untuk bergerak walaupun masih sedar. Sindrom neurotoksik akibat dari gigitan ular tedung selar ini menyerupai pesakit yang kematian otak. Kami melaporkan kes seorang lelaki pertengahan umur dengan defisit neurologi yang progresif berikutan gigitan ular Tedung Selar di lengan kanannya. Beliau menunjukkan gejala klinikal bisa neurotoksik setempat dan sistemik. Berikutan keadaan klinikal yang semakin parah, beliau telah diintubasi dan di sambungkan kepada alat bantuan pernafasan di jabatan kecemasan. Beliau menerima sejumlah 33 vial antibisa monospesifik Ophiophagus hannah dan seterusnya pulih dengan baik tanpa menunjukkan sebarang defisit neurologi. Secara retrospektifnya, beliau dapat mendengar dan mengingati pebualan orang di sekeliling dan kesakitan semasa terbaring lumpuh di unit rawatan rapi. Beliau menyifatkan ianya sebagai satu pengalaman yang amat menakutkan dan menyakitkan. Kes klinikal sindrom “locked-in” akibat dari gejala bisa sistemik ular Tedung Selar amat jarang dilaporkan. Adalah penting untuk membezakan gejala bisa sindrom neurotoksik ini dari pesakit yang kematian otak atau “brain death”. Pesakit tidak dapat bertindak balas terhadap kesakitan fizikal kerana lumpuh dan memerlukan ubat pelali yang mencukupi semasa dirawat. Seorang pesakit yang mengalami pengalaman ini juga mungkin akan memerlukan sokongan psikologi setelah pulih dari lumpuh.
Kata Kunci :
bisa,
gigitan ular,
kecemasan,
neurotoksik,