Abstrak
Acanthamoeba  spp.   merupakan   ameba   hidup   bebas   yang   biasa   ditemui
	di  persekitaran.   Ia  merupakan   agen  penyebab  keratitis  Acanthamoeba  (AK) dan  ensefalitis  ameba  bergranuloma   (GAE).  Ameba   ini  juga  mampu menjadi perumah  kepada  pelbagai  bakteria  termasuklah  yang  bersifat patogenik  seperti Mycobacterium, Legionella  dan Staphylococcus aureus rintang metisilin  (MRSA). Berdasarkan maklumat ini, satu kajian dijalankan  untuk  mengesan kehadiran  tiga bakteria endosimbion berkepentingan perubatan di dalam Acanthamoeba spp. yang telah dipencilkan dari bolong  penghawa dingin yang terdapat di wad and dewan bedah  di  Pusat Perubatan  Universiti  Kebangsaan  Malaysia.  Kehadiran  bakteria endosimbion ini disaring menggunakan pasangan primer khusus bagi setiap genus menggunakan reaksi rantai polimerase  (PCR) konvensional dan disahkan  dengan analisis penjujukan. Dua puluh  sembilan  (80.56%) pencilan  Acanthamoeba spp. didapati  mengandungi bakteria endosimbion patogenik  yang disasarkan dengan sekurang-kurangnya  satu  genus  bakteria  bagi  setiap  pencilan.   Mycobacterium (82.76 %) adalah bakteria yang paling banyak dikesan, diikuti dengan Legionella sp. (65.52 %) dan Pseudomonas spp. (62.07 %). Tiada bakteria MRSA dikesan daripada mana-mana pencilan  dalam  kajian  ini. Dua  endosimbion Mycobacterium yang dikenalpasti  telah  dikelompokkan ke  dalam  strain Mycobacterium tuberculosis. Kami membuat kesimpulan bahawa, kebanyakan Acanthamoeba berpotensi untuk menjadi  perumah  bagi pelbagai bakteria patogenik,  namun  implikasi  interaksi ini terhadap  patogenisiti  kedua-dua organisma  masih  kurang jelas dan memerlukan penyelidikan yang lebih lanjut.
                  Kata Kunci :  
         Acanthamoeba,  
          
          bakteria endosimbion,  
          
          Legionella,  
          
          MRSA,  
          
          Mycobacterium,  
          
          Pseudomonas,  
           
         
           
        
     
   
 
 
 
 
 
