Abstrak
Osteosarkoma, sejenis tumor tulang yang bersifat malignan, merupakan cabaran besar dalam rawatan dan prognosis walaupun terdapat kemajuan dalam terapi. Ekspresi faktor nuklear sel T diaktifkan c1 (NFATc1) dalam tisu osteosarkoma masih kurang diterokai sebagai sasaran terapeutik yang berpotensi. Kajian ini bertujuan untuk menilai ekspresi protein NFATc1 dalam sampel tisu osteosarkoma non-metastatik manusia serta hubung kaitnya dengan kelangsungan hidup pesakit dan subjenisnya. Kedua, kami mengenalpasti hubungan antara butiran demografi klinikal dan kelangsungan hidup pesakit osteosarkoma. Satu kajian keratan rentas telah dijalankan ke atas 31 pesakit osteosarkoma non-metastatik primer. Analisis imunohistokimia digunakan untuk menilai ekspresi protein NFATc1 dalam spesimen tisu yang dikeluarkan secara pembedahan. Data demografi, butiran rawatan dan rekod susulan telah dikumpulkan untuk analisis. Populasi kajian mempunyai purata umur 20.0 tahun, didominasi oleh etnik Melayu. Ekspresi protein NFATc1 adalah positif dalam 25.8%, terutamanya dalam osteosarkoma konvensional (30.4%). Tiada korelasi yang signifikan ditemui antara ekspresi protein NFATc1 dengan kelangsungan hidup pesakit (p = 0.685) atau subjenis osteosarcoma (p = 0. 642). Pesakit dengan NFATc1 positif mempunyai kebarangkalian yang lebih rendah untuk kelangsungan hidup jangka panjang berbanding pesakit NFATc1-negatif (OR = 0.550; 95% CI: 0.106 - 2.860), walaupun perkaitan ini tidak signifikan secara statistik (p = 0.477). Dalam kalangan ciri-ciri klinik-demografi yang dikaji, hanya jenis pembedahan (penyelamatan anggota badan vs. amputasi) menunjukkan perkaitan yang signifikan secara statistik dengan kelangsungan hidup (p = 0.002), manakala umur, bangsa, jantina, tapak, patah patologi, kemoterapi,= dan pembedahan untuk berulang tidak menunjukkan perkaitan yang signifikan. Protein NFATc1 semata-mata tidak berupaya menjadi faktor prognostik dalam osteosarkoma non-metastatik. Kajian lanjut disarankan untuk menerokai NFATc1 dalam kohort yang lebih besar bagi kedua-dua osteosarkoma non-metastatik dan metastatik.
Kata Kunci :
Immunohistokimia; kemandirian; NFATc1; osteosarkoma; prognosis,