Abstrak
Pelaksanaan resusitasi kardiopulmonari (CPR) di sekolah disarankan bagi meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit yang mengalami komplikasi jantung terhenti. Walau bagaimanapun, kurikulum sekolah di Malaysia kekurangan pendidikan mengenai CPR dan defibrilator luaran automatik (AED). Kajian ini bertujuan untuk menilai pengetahuan, sikap, kesediaan dan halangan kepada pendidikan CPR dan AED dalam kalangan guru di Malaysia. Kaedah pensampelan rawak berstrata dua peringkat digunakan untuk memilih 400 orang guru daripada 20 sekolah rendah dan menengah di negeri Selangor, Malaysia. Borang soal selidik digunakan yang merangkumi soalan tentang pengetahuan CPR dan AED, sikap dan kesediaan untuk mengajar CPR dan AED serta faktor pendorong dan halangan dalam pelaksanaan CPR dan AED di sekolah. Seramai 165 orang peserta (57.0% wanita) telah melengkapkan soal selidik. Hanya dua orang guru (1.2%) lulus ujian pengetahuan, manakala 74.5% melaporkan bahawa tiada latihan CPR dijalankan di sekolah mereka dalam tempoh dua tahun yang lepas. Walaupun 57.6% orang guru bersedia untuk mengajar CPR, sebanyak 61.8% menghadapi halangan seperti kurang pengetahuan, kekangan masa dan kekurangan sumber. Halangan lain dalam pelaksanaan kurikulum CPR termasuk tanggapan kekurangan sokongan daripada pihak kerajaan di peringkat pusat, negeri dan daerah, kekurangan dana serta persepsi bahawa minat pelajar yang rendah. Analisis Varians Multivariat menunjukkan keputusan yang tidak signifikan, di mana tahap sikap, kesediaan dan halangan yang dirasakan adalah konsisten dalam kalangan guru tanpa mengira latar belakang, seterusnya mempamerkan keperluan yang sama untuk memperbaiki pendidikan CPR. Kajian ini menunjukkan bahawa guru bersedia untuk mengajar CPR dan AED. Walau bagaimanapun, terdapat keperluan untuk meningkatkan pengetahuan CPR dalam kalangan guru serta mengatasi halangan struktur dan institusi yang menjadi penghalang dalam memastikan pelaksanaan kurikulum CPR yang berkesan dapat dicapai di seluruh sekolah di Malaysia.
Kata Kunci :
Guru sekolah; halangan; kerangka konseptual; pemudah cara; pendidikan CPR,