Abstrak
Radang telinga luar atau otitis eksterna (OE) adalah satu spektrum keradangan telinga luaran akibat jangkitan atau iritasi. Terdapat kekurangan data tempatan mengenai masalah ini dan OE ini kerap terjadi di kalangan masyarakat. Kajian ini bertujuan untuk menentukan kelaziman kejadian, faktor risiko, komplikasi otitis eksterna akut (OEA) dan untuk mengkaji analisis kos rawatan OE. Analisis kos dilakukan dengan menggunakan analisis top-down dan aktiviti berdasarkan kos dengan data yang disediakan oleh pusat kajian dan jalur klinikal yang dirumuskan untuk kajian ini. Sebanyak 157 pesakit yang mengidapi OEA diperolehi dari kajian ini. Sejumlah 23 daripada 157 orang pesakit mempunyai masalah OEA pada kedua-dua belah telinga, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 180 telinga. Umur purata pesakit ialah 29.4 tahun (5 bulan-75 tahun). Sejumlah 110 kes (61.1%) menghidapi masalah OE ('acute diffuse otitis externa'), 48 (26.7%) dengan otomikosis, 18 (10.0%) dengan OEA setempat ('acute localised otitis externa') dan 4 (2.2%) dengan otitis eksterna exzematous. Sejumlah 117 kes (65.0%) mempunyai sejarah penggunaan putik kapas sebagai faktor penyebab OEA. Penyakit ini memerlukan RM 234.52 untuk rawatan setiap lawatan dan pesakit memerlukan 2.3 lawatan yang melibatkan kos RM 539.40. Penggunaan putik kapas atau penggalian telinga adalah faktor risiko utama untuk seseorang mendapat masalah otitis eksterna.
Kata Kunci :
analisis kos, kurang pendengaran,
otitis eksterna akut,
otomycosis,