Abstrak
Kejuruteraan tisu merupakan satu bidang perubatan baru yang membolehkan tisu manusia dibentuk secara in vitro sebelum pemindahan tisu dilakukan. Sel stem mesenkima daripada sum sum tulang (BMSCs) adalah sumber sel yang sesuai dalam kejuruteraan tisu tulang rawan, ekoran kebolehannya untuk membentuk rawan hialin. Kajian ini telah dijalankan untuk mengkaji potensi BMSCs untuk membentuk sel rawan secara in vitro dan in vivo. BMSCs dipencilkan daripada kambing dan dibahagikan kepada dua kumpulan; iaitu kumpulan kajian dan kumpulan kawalan. Sel di dalam kumpulan kawalan disemai di dalam medium yang mengandungi 10% serum anak lembu (FBS). Manakala, sel di dalam kumpulan kajian telah dikultur di dalam medium yang diperkaya dengan 1% FBS, 1% ITS, 5 ng/mL TGF-ß3, 50 ng/mL IGF-1, 40 ng/mL L-proline, 100 nM dexamethasone dan 50 μg / fosfat. Analisis pembentukan sel rawan telah dijalankan secara in vivo pada model mencit gondol atimus. Sel didapati beragregasi di dalam kumpulan kajian dan menunjukkan permulaannya kondrogenesis telah berlaku dalam pengkulturan sel. Kerangka fibrin yang telah disemai bersama sel yang telah atau tidak diaruh disediakan dan ditanamkan di dalam lapisan subkutaneus mencik gondol atimus selama 5 minggu. Eksplan tersebut kemudiannya dikeluarkan daripada lokasi penempelan untuk pemeriksaan histologi. Berdasarkan pewarnaan Safranin O dan pengekspresan GAG, eksplan daripada kumpulan kajian didapati menghasilkan matriks rawan pada kadar yang tinggi berbanding eksplan di dalam kumpulan kawalan. Hasil kajian ini menunjukkan keberkesanan medium rendah serum yang mengandungi TGF-ß3 merangsang pembezaan sel stem mesenkima daripada sum-sum tulang untuk menjadi sel rawan.
Kata Kunci :
faktor tumbesaran,
kondrogenesis,
medium rendah serum,
rawan,
sel stem,
sum-sum tulang,