Abstrak
Perencat sodium-glucose cotransporter-2 (SGLT2) merupakan sejenis agen antidiabetik yang mempunyai fungsi perlindungan kepada jantung dan buah pinggang. Selain itu, ia menghalang penyerapan sodium pada bahagian tubular dan mengurangkan tekanan intraglomerular pada buah pinggang. Kebelakangan ini, penggunaan perencat SGLT semakin meningkat tanpa mengira status kencing manis dalam kalangan pesakit buah pinggang kronik. Walau bagaimanapun, data sejagat mengenai penggunaan perencat SGLT2 masih terhad. Kami menjalankan kajian deskriptif dalam kalangan pesakit buah pinggang kronik yang menggunakan perencat SGLT2 di Klinik Nefrologi. Sebanyak 156 orang pesakit telah diberikan preskripsi perencat SGLT2 bermula tahun 2017 sehingga 2022. Daripada jumlah tersebut, 58.3% adalah lelaki dengan umur purata 61 + 13 tahun dan 86.5% mempunyai kencing manis, dengan kadar purata 'estimated glomerular filtration rate' (eGFR) 46.41 + 21.14 ml/min/1.73m2 dan proteinuria 2.22 + 2.62 g/hari. Sebanyak 85.9% daripada jumlah pesakit turut menggunakan penyekat 'renin angiotensin-system' (RAS), manakala kebanyakan pesakit yang tidak menggunakan penyekat RAS adalah pesakit buah pinggang kronik peringkat 4. Dalam kalangan pesakit bukan kencing manis, sebanyak 81% mempunyai glomerulonefritis, iaitu separuh daripadanya adalah IgA nefropati dan 42.9% pesakit menggunakan immunosupresi. Terdapat pembantutan yang signifikan pada kadar penurunan eGFR dalam tempoh 6 bulan penggunaan perencat SGLT2 iaitu daripada -3.46 + 6.56 ml/min/1.73m2 kepada -0.77 + 7.97 ml/min/1.73m2 (p=0.001). Di samping itu, pembantutan terhadap kadar penurunan eGFR yang ketara turut ditunjukkan oleh pesakit buah pinggang pada peringkat yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, kadar penurunan proteinuria adalah tidak ketara sepanjang tempoh 6 bulan (-0.03 + 2.31 g/hari. Setakat ini tiada laporan mengenai kesan sampingan perencat SGLT2 dikenalpasti. Kesimpulannya, perencat SGLT2 melambatkan kadar penurunan eGFR dengan pengurangan kadar proteinuria secara minimum dalam jangka masa pendek. Data mengenai keberkesanan dan keselamatan jangka masa panjang perencat SGLT2 dalam populasi tempatan memerlukan penilaian lanjut.
Kata Kunci :
Penyakit ginjal kronik; perencat SGLT2; proteinuria,