Abstrak
Pesakit yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif berkemungkinan melalui pengalaman yang tidak menyenangkan. Pengalaman ini termasuk dalam bentuk insiden-insiden berfakta dan juga gangguan ingatan terhadap persekitaran dalam unit, sebagai contohnya, kerap bermimpi, halusinasi dan pengalaman yang menakutkan. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenalpasti pengalaman yang dilalui pesakit ketika mereka dirawat dengan bantuan pernafasan mekanikal di ICU HUKM. Kajian yang berbentuk irisan rentas ini menggunakan soalselidik pengalaman rawatan intensif “Intensive Care Experience Questionnaire” yang mengandungi empat domain: kepekaan terhadap keadaan sekeliling, pengalaman yang menakutkan, pengingatan semula pengalaman dan kepuasan terhadap jagarawatan. Seramai 45 responden yang di unit rawatan intensif (ICU) memenuhi kiteria yang telah ditetapkan menyertai kajian ini. Kajian ini telah dijalankan di ICU HUKM dari Januari 2006 hingga Mac 2006. Kajian menunjukkan bahawa 20 responden (44%) adalah peka terhadap persekitaran mereka, 31 responden (69%) melaporkan pengalaman yang menakutkan. Kebanyakan responden, 43 (96%) berpuas hati dengan jaga-rawatan. Terdapat kolerasi yang positif antara kepekaan terhadap persekitaran dengan keupayaan responden untuk mengingat semula pengalaman (p<0.05). Kepekaan pesakit terhadap persekitaran merupakan faktor sumbangan yang signifikan dalam menjangka keupayaan pesakit untuk mengingat kembali pengalaman semasa di ICU dengan nilai pekali beta 0.353 dan p<0.05. Hasil kajian ini membolehkan jururawat memperlihatkan keperluan pesakit yang bernafas dengan bantuan mekanikal daripada maklumat pesakit. Pesakit melaporkan frustasi dalam usaha mereka untuk menyuarakan laporan pengalaman yang tidak menyenangkan masing-masing. Informasi ini memperihalkan paras frustasi sebenar yang dialami oleh pesakit apabila mereka ingin menyuarakan diri semasa dibantu oleh alat pernafasan mekanikal.
Kata Kunci :
maklumat,
pernafasan mekanikal,
Unit Rawatan Intensif,