Abstrak
Acanthamoeba spp. merupakan ameba hidup bebas yang biasa ditemui
di persekitaran. Ia merupakan agen penyebab keratitis Acanthamoeba (AK) dan ensefalitis ameba bergranuloma (GAE). Ameba ini juga mampu menjadi perumah kepada pelbagai bakteria termasuklah yang bersifat patogenik seperti Mycobacterium, Legionella dan Staphylococcus aureus rintang metisilin (MRSA). Berdasarkan maklumat ini, satu kajian dijalankan untuk mengesan kehadiran tiga bakteria endosimbion berkepentingan perubatan di dalam Acanthamoeba spp. yang telah dipencilkan dari bolong penghawa dingin yang terdapat di wad and dewan bedah di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kehadiran bakteria endosimbion ini disaring menggunakan pasangan primer khusus bagi setiap genus menggunakan reaksi rantai polimerase (PCR) konvensional dan disahkan dengan analisis penjujukan. Dua puluh sembilan (80.56%) pencilan Acanthamoeba spp. didapati mengandungi bakteria endosimbion patogenik yang disasarkan dengan sekurang-kurangnya satu genus bakteria bagi setiap pencilan. Mycobacterium (82.76 %) adalah bakteria yang paling banyak dikesan, diikuti dengan Legionella sp. (65.52 %) dan Pseudomonas spp. (62.07 %). Tiada bakteria MRSA dikesan daripada mana-mana pencilan dalam kajian ini. Dua endosimbion Mycobacterium yang dikenalpasti telah dikelompokkan ke dalam strain Mycobacterium tuberculosis. Kami membuat kesimpulan bahawa, kebanyakan Acanthamoeba berpotensi untuk menjadi perumah bagi pelbagai bakteria patogenik, namun implikasi interaksi ini terhadap patogenisiti kedua-dua organisma masih kurang jelas dan memerlukan penyelidikan yang lebih lanjut.
Kata Kunci :
Acanthamoeba,
bakteria endosimbion,
Legionella,
MRSA,
Mycobacterium,
Pseudomonas,