Abstrak
Satu kajian keratan rentas telah dilakukan untuk membandingkan tahap kemampuan pesakit mengingat kembali maklumat lisan dan bertulis tentang rawatan ortodontik. Para peserta merupakan pesakit dan ibu bapa yang menghadiri klinik penyaringan ortodontik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Penyertaan adalah secara sukarela. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama diberi maklumat bertulis sahaja dalam bentuk risalah, manakala kumpulan yang kedua diberi maklumat lisan sahaja. Isi kandungan maklumat merangkumi 13 item berdasarkan Risalah Maklumat Pesakit yang diterbit oleh The British Orthodontic Society. Kedua-dua kumpulan menerima isi kandungan maklumat yang sama dalam bahasa pilihan mereka. Soal selidik soalan bertutup yang diisi sendiri diberi kepada subjek selepas 15 minit untuk menilai tahap in- gat kembali. Jawapan yang diberi oleh kedua-dua kumpulan peserta dibandingkan. Data yang dikumpul dianalisis dengan SPSS versi 15.0. Ujian chi-square (p=0.05) dijalankan untuk menentukan kesan kaedah pemberian maklumat terhadap peratusan ingat kembali. Seramai 79 subjek menyertai secara sukarela. Terdapat lebih ramai perempuan berbanding lelaki. Majoriti didapati mencapai tahap pengajian sekolah menengah. Perbandingan untuk setiap item soalan mendapati tiada perbezaan signifikan antara mereka yang diberi maklumat lisan atau bertulis. Kedua-dua kumpulan menunjukkan peratusan respons betul yang tinggi. Sebagai kesimpulan, tiada perbezaan dalam tahap ingat kembali pesakit, sama ada pesakit diberi maklumat lisan atau bertulis.
Kata Kunci :
maklumat lisan,
maklumat ortodontik,
maklumat bertulis,
tahap ingat kembali,