Abstrak
Daun sireh atau Piper betle (PB) telah digunakan secara tradisional di banyak negara Asia untuk penyembuhan luka dan penyakit lain. Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji kesan penyembuhan luka PB pada tikus Sprague-Dawley yang diaruhkan kecederaan kulit. Lapan belas tikus jantan Sprague-Dawley diaruhkan luka dan kemudian dibahagikan kepada tiga kumpulan yang terdiri daripada kawalan (penyembuhan luka normal tanpa “dressing”), salina (penyembuhan luka dibalut kain kasa yang direndam dalam air salina) dan PB (kain kasa yang mengandungi pes PB). Luka diaruhkan di belakang tikus dengan jarum biopsi punch steril berukuran 6 mm. Luka diperiksa pada hari 3, 5, 7, 9, 11 dan 13 untuk kekeringan, eksudasi, dan pembentukan parut. Tikus telah dikorbankan pada hari ke-14 dan tisu granulasi yang terbentuk pada luka itu kemudiannya dikeluarkan untuk pemeriksaan histologi menggunakan pewarnaan Hematoxylin dan Eosin (H&E). Pembentukan tisu granulasi dalam tikus yang dirawat dengan PB menunjukkan penutupan luka dengan masa yang lebih pendek (pada hari ke-3) berbanding dengan kumpulan kawalan dan salina (pada hari ke-5). Pembalut luka yang mempunyai PB berupaya meminimumkan pembentukan tisu parut secara signifikan (p<0.05) berbanding kumpulan kawalan dan salina. Kesimpulannya, keputusan dari kajian ini menunjukkan bahawa PB mempunyai kesan pemulihan luka yang baik dengan kesan kurang parut dan mungkin ia dapat digunakan secara komplementari untuk merawat luka.
Kata Kunci :
penyembuhan luka,
Piper betle,
tisu granulasi,
tisu parut,