Abstrak
Kesakitan kerongkong selepas pembedahan (POST) adalah komplikasi yang sering berlaku dengan kadar insidens sebanyak 30-90% sekiranya intubasi dilakukan menggunakan laringoskopi konvensional (Macintosh). Walaupun kesakitan kerongkong biasanya akan pulih sendiri dan tidak mendatangkan keburukan jangka panjang, ia boleh menimbulkan perasaan ketidakpuasan dan ketidakselesaan kepada pesakit selepas pembedahan. Objektif kajian ini adalah untuk membandingkan kadar insidens POST selepas intubasi menggunakan laringoskopi Macintosh berbanding dengan laringoskopi video C-MAC® pada selang waktu tertentu selepas pembiusan. Kajian prospektif kawalan secara rawak ini terdiri daripada 128 orang pesakit bertaraf "American Society of Anesthesiologists" (ASA) I dan II yang telah mendapat pembiusan penuh dan menjalani pembedahan elektif di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Semua pesakit dalam kajian mempunyai struktur pernafasan yang normal dan dibahagikan secara rawak kepada Kumpulan 1 yang menggunakan laringoskopi Macintosh dan Kumpulan 2 yang menggunakan laringoskopi video C-MAC® untuk prosedur intubasi. Pesakit dipantau mengikut gejala sakit kerongkong, serak suara, sukar menelan dan batuk pada tempoh pemulihan, 6 jam, 12 jam dan 24 jam selepas intubasi. Tahap keparahan gejala POST ditentukan dengan menggunakan skala penilaian numerikal (NRS). Kajian menunjukkan kadar insidens POST adalah lebih tinggi untuk kumpulan yang menggunakan laringoskopi Macintosh (61.9%) berbanding dengan kumpulan yang menggunakan laringoskopi video C-MAC® (47.9%) walaupun perbezaan statistik tidak signifikan (p=0.107). Skala kesakitan median yang digunakan untuk menilai tahap gejala POST adalah rendah untuk kedua-dua kumpulan dan tiada perbezaan bererti. Insidens untuk gejala serak suara, sukar menelan dan batuk untuk kedua-dua kumpulan selepas pembedahan juga tiada perbezaan yang signifikan. Kesimpulannya, kadar insidens POST selepas intubasi menggunakan laringoskopi video C-MAC® adalah setanding dengan laringoskopi konvensional Macintosh. Kajian ini mendapati gejala POST selepas intubasi bagi kedua-dua kumpulan adalah rendah.
Kata Kunci :
faringitis,
intubasi,
laringoskopi,
serak suara,