Abstrak
Ubatan tradisional boleh menyebabkan kesan sampingan pada kulit. Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji ciri-ciri kesan sampingan pada kulit yang disebabkan oleh ubatan tradisional dan dibandingkan ubatan konvensional. Satu kajian retrospektif telah dijalankan terhadap 134 kes yang dikenalpasti di Klinik Dermatologi di hospital tertiari Kuala Lumpur. Kebanyakan kes (82.1%) adalah disebabkan oleh ubat-ubatan konvensional manakala 17.9% adalah disebabkan oleh ubatan tradisional. Kesan sampingan ubatan tradisional pada kulit yang paling lazim adalah Exfoliative Dermatitis (ED) dan Acute Generalized Exanthematous Pustulosis (AGEP) (kedua-duanya 16.7%) manakala ruam makulopapular adalah reaksi yang paling lazim bagi ubatan konvensional (25.5%). Jangkamasa mulanya reaksi kesan sampingan ubatan pada kulit disebabkan oleh ubatan tradisional adalah hampir 4 minggu (60.2%) manakala ubat konvensional adalah lebih awal (1 hingga 6 hari, 65.4%) (p<0.05). Kemungkinan munculnya kesan sampingan ubatan yang tertunggak (4 minggu) adalah 14 kali lebih kerap dengan ubatan tradisional berbanding dengan ubat konvensional (p<0.05). Kajian ini menunjukkan bahawa ED dan AGEP adalah kesan sampingan kulit yang paling lazim disebabkan oleh ubat tradisional manakala ruam makulopapular lebih kerap berlaku dengan ubatan konvensional. Walau bagaimanapun, kebanyakan kesan sampingan ini adalah pada tahap sederhana. Oleh sebab kesan sampingan ubatan tradisional sering muncul selepas jangkamasa yang lama, riwayat penggunaan ubatan tradisional seharusnya didapatkan secara rutin bagi pesakit yang mempunyai masalah kulit walaupun ubatan ini telah lama digunakan. Semua kes yang disyaki mempunyai kesan sampingan pada kulit disebabkan oleh ubatan tradisional haruslah dilaporkan kepada Malaysian Adverse Drug Reactions Advisory Committee (MADRAC) supaya ubatan tradisional dapat dipantau dari semasa ke semasa untuk menjamin keselamatan pengguna.
Kata Kunci :
kesan sampingan,
reaksi ubat,
tradisional,
ubat,