Abstrak
Keupayaan bertutur dengan pesakit dan saudara-mara tidak wujud secara semulajadi, lebih sukar lagi bagi doktor muda untuk meletakkan diri dalam situasi pesakit yang rumit. Satu kajian ‘keratan rentas’ telah dilakukan untuk mengenalpasti kebolehan berkomunikasi graduan tahun 2004 Fakulti Perubatan, UKM semasa mereka menjalani posting sebagai ‘pegawai perubatan siswazah’ di hospital seluruh Malaysia. Borang maklumbalas yang piawai digunakan untuk mengumpul data. Lima puluh sembilan peratus graduan mengakui mereka mempunyai kemahiran komunikasi yang sangat baik dengan pesakit, manakala 69% graduan mengakui mempunyai kemahiran komunikasi yang sangat baik dengan kakitangan sokongan dan 88% dengan rakan sebaya. Walaubagaimanapun, 38% dan 41% mengakui mereka mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dengan pihak atasan dan keluarga pesakit, masing-masing. Hanya 22% daripada graduan mengakui bahawa mereka mempunyai kemahiran yang baik di dalam menyampaikan berita buruk, manakala 50% dan 81% mengakui mereka mempunyai kemahiran kaunseling pesakit dan pengambilan persetujuan untuk prosedur, masing-masing. Oleh itu disarankan perancang kurikulum memberi penekanan yang sewajarnya dalam aspek kemahiran komunikasi untuk bakal doktor di masa akan datang.
Kata Kunci :
anggapan,
bakal doktor,
kemahiran komunikasi,
siswazah perubatan,