Abstrak
Resusitasi kardiopulmonari (CPR) adalah penting dan pegawai perubatan siswazah (PPS) patut mahir menjalankannya. Para PPS yang baru sahaja selesai pengajian mereka ditugaskan ke wad perubatan akut dan wad pembedahan akut. Sekiranya pesakit di wad mengalami kematian mengejut akibat serangan jantung, merekalah yang akan mula merawat pesakit tersebut. Oleh itu seseorang PPS harus yakin dengan kemahirannya untuk menjalankan CPR sekiranya perlu. Kami telah menjalankan kajian berkaitan pengetahuan menjalankan CPR ke atas 26 PPS baru di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Perkara-perkara yang dianalisis termasuk: tanggapan para PPS itu sendiri berkaitan kemahiran, pengetahuan dan tahap keyakinan mereka dalam menjalankan CPR. Kami menilai pengetahuan menggunakan satu set soalan berkaitan resusitasi kadiopulmonari. Hasil kajian mendapati bahawa 16/26 (61.5%) daripada PPS, menilai diri mereka sebagai mempunyai tahap pengetahuan yang tidak mencukupi manakala 46.2% tidak mempunyai keyakinan dalam menjalankan CPR. Kebanyakan mereka mendapat markah rendah dalam keputusan ujian penulisan, di mana min adalah 5.7 + 1.8. Tujuh daripada 26 (27.0%) PPS meletakkan tangan mereka pada posisi yang salah ketika menjalankan CPR. Hanya 4 dan 9 daripada 26 PPS meletakkan pad sternum dan pad kardiak pada posisi yang betul. Kami membuat kesimpulan bahawa pengetahuan, tanggapan kemahiran dan tahap keyakinan PPS dalam menjalankan CPR perlu diperbaiki dan perlu penilaian yang lebih mendalam. Institusi Pengajian Perubatan perlu meneliti kembali kurikulumnya supaya dapat menyediakan PPS agar lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan.
Kata Kunci :
bantuan asas kehidupan,
kematian mengejut akibat serangan jantung,
latihan resusitasi kardiopulmonari.,
pegawai perubatan siswazah,
resusitasi kardiopulmonari,