Abstrak
Sebelum program rehabilitasi senaman dipreskripsikan untuk pesakit strok, kapasiti kardiopulmonari perlu dinilai dengan tepat untuk menentukan senaman intolerans dan intensiti latihan yang diperlukan. Walau bagaimanapun, belum ada ujian senaman kardiopulmonari (CPET) yang sesuai untuk pesakit strok. Ini adalah disebabkan oleh ketidakupayaan fizikal yang dialami oleh mereka. Justeru, tujuan kajian ini adalah membangunkan protokol ujian senaman kardiopulmonari yang menggunakan protokol rowing-ramp, serta menentukan kesahan serta kebolehpercayaan protokol ujian tersebut. Sebelas orang pesakit strok (6 lelaki; 5 wanita; umur, 45 + 16.01 tahun} melakukan dua ujian senaman ansur maju menggunakan ergometer rowing (Concept II) bagi menentukan penggunaan oksigen puncak (VO2 puncak). Kebolehpercayaan uji-ulang uji untuk VO2 puncak, diukur berselang 1 minggu dan memberikan nilai pekali korelasi intra-kelas masing-masing 0.97 dan 0.95. Persamaan regresi linear dibangunkan untuk menentukan nilai VO2 puncak berdasarkan kepada kuasa kayuhan pada tahap tertinggi. Kesahan dan kebolehpercayaan persamaan juga dihasilkan. Persamaan regresi yang diperolehi ialah VO2 puncak=11.429 +±0.232 (Kuasa Kayuhan Tahap Tertinggi) + 12.63 (F=25.326, p<0.01; R=0.859, R2=0.738). Had persetujuan antara VO2 puncak yang diukur dan anggaran boleh diterima, dengan purata bias 0.37 ml/kg/min. Pekali kesahan (R) adalah 0.83 (p<0.01) dan 0.81 (p<0.01) dalam kedua-dua percubaan. Pekali kebolehpercayaan uji-ulang uji untuk VO2 puncak anggaran adalah 0.95 (p<0.01). Hubungan positif antara kuasa kayuhan tahap tertinggi dan VO2 puncak mencadangkan bahawa protokol Rowing-Ramp ini boleh digunakan untuk mengukur VO2 puncak pesakit strok. Kajian lanjut diperlukan demi pengesahan bersilang persamaan regresi menggunakan saiz sampel yang lebih besar, dengan mengambil kira jenis strok dan tahap keparahan.
Kata Kunci :
penggunaan oksigen,
protokol CPET,
rowing,
strok hemiparetik,
ujian senaman kardiopulmonari,