Abstrak
Membuat keputusan dalam pemilihan kursus adalah penting bagi seorang pelajar. Kesesuaian kerjaya juga haruslah sepadan dengan personaliti pelajar bagi menjamin kepuasan dalam bekerja di samping kejayaan dalam profesion yang diceburi pada masa akan datang. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti sebab-sebab pelajar memilih bidang perubatan, personaliti diri mereka, dan keupayaan kendiri (kesesuaian). Kajian ini merupakan kajian rentas yang melibatkan pelajar perubatan Tahun 3 pra-klinikal di Universiti Sains Islam Malaysia. Soal selidik yang digunakan mengandungi tiga bahagian iaitu data demografik, Inventori Minat Kerjaya Sidek dan sebab-sebab mereka memilih kursus perubatan. Inventori Minat Kerjaya Sidek digunakan untuk mengukur personaliti pelajar dan kesesuaian kerjaya. Seramai 80 orang pelajar yang berumur di antara 20-21 tahun telah menyertai kajian ini dan majoritinya adalah perempuan (n=56, 70.0%). Dapatan kajian menunjukkan seramai 45.7% (n=44) responden memilih kursus perubatan disebabkan ‘kesungguhan dan minat’, manakala 24.7% (n=20) ‘pengaruh ibu bapa' dan 19.8% (n=16) ‘untuk membantu masyarakat’. Dalam bidang perubatan, dua trait personaliti yang penting adalah personaliti penyiasat dan personaliti sosial. Seramai 47.5% (n=38) responden mempunyai skor tinggi bagi personaliti penyiasat tetapi hanya 13.8% (n=11) responden mempunyai skor tinggi personaliti sosial. Bagi gabungan kedua-dua personaliti hanya 12.5% (n=10) pelajar mempunyai skor yang tinggi. Kesimpulannya, majoriti pelajar memilih bidang perubatan atas sebab altruistik. Walau bagaimanapun, berdasarkan penilaian personaliti yang telah dilakukan, hanya sebilangan kecil di kalangan mereka mempunyai kebolehan kendiri yang sesuai untuk kursus ini iaitu kemahiran penyiasatan dan interaksi sosial. Oleh yang demikian, pelajar dan pensyarah perlu mempunyai kesedaran terhadap perkara ini serta meningkatkan kemahiran yang diperlukan dalam bidang ini.
Kata Kunci :
aptitud,
pelajar,
perubatan,
sebab,
trait personaliti,