Abstrak
Pengambilan glukokortikoid jangka panjang mengaruh stres oksidatif yang mengakibatkan perubahan struktur dan kekuatan tulang. Minyak sawit kaya dengan tokotrienol yang merupakan sejenis antioksidan. Ia boleh digunakan bagi mencegah penyakit yang berkaitan dengan stres oksidatif. Kajian ini bertujuan untuk menentukan mekanisme kesan perlindungan tokotrienol sawit terhadap osteoporosis aruhan glukokortikoid. Sebanyak 32 ekor tikus Sprague-Dawley jantan telah digunakan bagi kajian ini. 16 ekor telah menjalani adrenalektomi dan diberi suntikan deksametason 120μg/kg/hari secara intramukular. Sebanyak lapan ekor tikus diberi suplementasi tokotrienol sawit 60 mg/kg/hari manakala 8 ekor lagi diberi makan vehikel minyak sawit olein 0.1 ml/kg/hari secara gavaj oral. Lapan ekor tikus menjalani pembedahan sham dan diberi vehikel minyak sawit olein 0.05 ml/kg/hari melalui suntikan intramuskular diberi makan vehikel minyak sawit olein 0.1 ml/kg/hari secara gavaj oral. Lapan ekor tikus dijadikan kumpulan kawalan asas yang dikorbankan tanpa diberikan apa-apa rawatan. Tikus-tikus tersebut dikorbankan selepas dua bulan menerima rawatan. Tulang femur kanan digunakan untuk menganalisa kekuatan biomekanikal dan histomorfometri tulang, manakala tulang femur kiri digunakan untuk menganalisa ekspresi gengen dan aktiviti enzim-enzim stress oksidatif. Hasil kajian menunjukkan rawatan glukokortikoid jangka panjang telah secara signifikan meningkatkan petanda resorpsi dan mengurangkan kekuatan dan struktur tulang. Ekspresi gen-gen yang berkaitan dengan osteoblast dan osteoklas menunjukkan peningkatan kadar tukar ganti tulang. Suplementasi tokotrienol sawit telah dapat mengekalkan petanda serap semula tulang dan memelihara struktur dan kekuatan tulang. Ekspresi gengen juga telah menunjukkan pengurangan kadar tukar ganti tulang. Melalui hasil kajian ini dapat disimpulkan bahawa tokotrienol sawit berpotensi digunakan sebagai rawatan profilaksis terhadap osteoporosis aruhan glukokortikoid melalui mekanisme pengawal seliaan ekspresi gen-gen yang berkaitan dengan osteoblas dan osteoklas.
Kata Kunci :
Antioksidan,
biomekanikal,
histomorfometri,
trabekular,
tulang,