Abstrak
Limfoma tiroid primer merupakan penyakit kanser yang jarang berlaku. Ia merangkumi 2% daripada keseluruhan limfoma malignan dan kurang daripada 5% daripada limfoma tiroid. Ia adalah penyakit yang sangat agresif dan merbahaya. Kebanyakan limfoma tiroid terdiri daripada limfoma ‘non-Hodgkin’ yang berasal dari sel limfoid B. Majoriti kes-kes berlaku dikalangan wanita enam puluhan. Kami melaporkan dua kes limfoma tiroid primer dengan memberi penekanan terhadap isu-isu klinikal dan kesulitan menangani penyakit ini. Kedua-dua pesakit datang ke hospital dengan kesukaran pernafasan yang memerlukan pembedahan. Keberkesanan radioterapi, kemoterapi, pembedahan dan penggunaan antibodi monoklonal masih lagi didebatkan. Peranan pembedahan di dalam menangani kes limfoma tiroid primer sudah banyak berubah namun peranannya yang penting di dalam kes-kes kecemasan tidak boleh diketepikan. Kedua-dua pesakit yang dilaporkan perlu menjalani pembedahan kecemasan tetapi hanya seorang sahaja yang telah menerima rawatan tambahan kemoterapi dan radioterapi. Kedua-dua kes ini memaparkan kesukaran di dalam pengurusan kes limfoma tiroid primer.
Kata Kunci :
kanser tiroid,
limfoma malignan,
limfoma tiroid primer,