Abstrak
Angiosarkoma payudara adalah tumor malignan yang jarang dijumpai dan sangat agresif yang berpunca dari salur darah. Ia terbahagi kepada 2 jenis; angiosarkoma primer yang terbentuk dengan sendirinya dan angiosarkoma sekunder yang terhasil akibat komplikasi selepas radioterapi atau limfedema kronik. Kami membentangkan kes seorang gadis yang berumur 19 tahun, telah hadir dengan ketulan yang besar di payudara kanannya untuk tempoh 9 bulan. Biopsi teras ketulan itu dilaporkan sebagai angiosarkoma. Dia tidak mempunyai sebarang penyakit di bahagian payudara sebelum ini. Dia telah menjalani mastektomi kanan, diikuti dengan radioterapi adjuvan. Dia telah dikesan mengalami tumor itu yang telah merebak ke kulit kepala dan tengkoraknya 5 bulan selepas pembedahan dan dia sedang menjalani kemoterapi paliatif. Tidak terdapat garis panduan antarabangsa yang jelas berkaitan rawatan angiosarkoma payudara disebabkan penyakit ini jarang dijumpai. Rawatan utama adalah pembedahan, di mana mastektomi adalah disyorkan. Radioterapi dan kemoterapi kadangkala diberikan dalam usaha untuk mengelak atau merawat penyakit yang berulang atau yang telah merebak.
Kata Kunci :
Angiosarkoma payudara,
mastektomi,
merebak ke tengkorak,
remaja,