Abstrak
Katarak ialah penyebab utama kebutaan yang boleh dielakkan di dunia. Jika tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan komplikasi seperti glaukoma dan kehilangan penglihatan kekal. Pada tahun 2020, World Health Organisation (WHO) telah mengisytiharkan wabak COVID-19 sebagai darurat kesihatan global. Akibat perintah kawalan pergerakan, rawatan pesakit bagi penyakit bukan-COVID-19 dikurangkan, tarikh temujanji dilanjutkan atau ditangguh dan pesakit-pesakit perlu menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum menerima rawatan. Kajian ini menunjukkan kesan sampingan penangguhan tarikh temujanji pesakit disebabkan pandemik COVID-19. Pesakit lelaki berumur 70 tahun dengan darah tinggi datang dengan aduan mata kanannya sakit dan merah selama sebulan. Penglihatannya semakin berkurangan selama setahun tetapi beliau menangguhkan rawatan disebabkan pandemik. Pemeriksaan fizikal menunjukkan ketajaman penglihatan bagi mata kanan (RE) hanya pergerakan tangan manakala mata kiri (LE) adalah 6/12 (ph6/12) dan penglihatan jarak dekat N5. Didapati anak mata kanan menunjukkan "relative afferent pupillary defect". Tekanan intraokular (IOP) RE adalah 54 mmHg dan bagi LE adalah 16 mmHg. Diperhatikan juga kemerahan konjunktiva RE dengan kekaburan kanta kornea. "Anterior chamber" didapati sempit dengan kehadiran sel sebanyak 3+, katarak putih dengan nukleus tenggelam. "Phacodonesis" juga dilihat. Hasil diagnosis ialah “lens induced” glaukoma disebabkan oleh katarak matang. Untuk pengurangan IOP dengan segera, ubat topikal dan sistemik dimulakan. Laporan ini menekankan komplikasi kehadiran lewat pesakit dengan katarak matang semasa pandemik COVID-19. Pendidikan kesihatan serta langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pesakit mengenai komplikasi katarak adalah penting. Pesakit patut diingatkan mengenai gejala glaukoma yang disebabkan oleh kanta katarak sekiranya temujanji ditukar atau dilewatkan.
Kata Kunci :
COVID-19,
glaukoma sudut terbuka,
katarak,