Abstrak
Batuk kering (TB) telah menjadi satu kebimbangan awam di seluruh dunia dengan 10.4 juta kes baru dilaporkan dalam tahun 2015 dan 1.4 juta kematian akibatnya. Lebih penting lagi, tren peningkatan kejadian TB di kalangan kakitangan kesihatan telah menjadi perkara yang membimbangkan. Oleh itu kajian ini telah dilakukan untuk mengkaji pengetahuan dan amalan tentang TB dan faktor yang berkaitan dengannya di kalangan jururawat dalam sebuah hospital pengajar. Kajian ini menggunakan reka bentuk keratan rentas dan kaedah persampelan rawak terstrata. Sejumlah 275 orang jururawat dalam sebuah hospital pengajar telah menyertai kajian ini. Pengetahuan dan amalan tentang pengurusan TB diukur secara soal selidik berstruktur. Kebanyakan responden mempunyai pengetahuan dan amalan yang baik terhadap pengurusan TB, iaitu masing-masing diwakili dengan 70.2% dan 63.3%. Namun jurang dalam kaedah pengumpulan kahak telah dikenalpasti dalam bahagian pengetahuan (1.8%) dan amalan (0.4%). Tempat kerja adalah satusatunya faktor demografi yang signifikan berkait dengan tahap pengetahuan dan amalan (p=0.028). Tahap pengetahuan dan amalan terhadap pengurusan TB yang dikenalpasti di kalangan jururawat didapati tidak berkait dengan kebanyakan faktor sosio demografi. Jururawat sebagai kakitangan kesihatan barisan hadapan adalah berisiko tinggi untuk terdedah dengan jangkitan TB kerana mereka berhubung kerap dengan pelbagai pesakit terutamanya pesakit yang tidak didiagnos dan disyaki berpenyakit TB. Oleh yang demikian, pelaksanaan langkah-langkah kawalan jangkitan TB adalah penting untuk mengurangkan risiko penyebaran dan jangkitan dalam hospital.
Kata Kunci :
Amalan,
jururawat,
pengetahuan,
tuberkulosis,