Abstrak
Kajian ke atas 50 pesakit Non-Insulin Dependent Diabetes Mellitus (NIDDM) yang menjalani pembedahan di bawah anestesia (pelalian) epidural telah dijalankan. Kesemua pesakit diberi infusi dekstros 5% 100ml/jam dari masa berpuasa hingga pesakit tiba di bilik bedah. Pesakit dibahagikan kepada dua kumpulan secara rawak. Pesakit dalam Kumpulan 1 (n=25) menerima salin normal manakala pesakit Kumpulan 2 (n=25) diberi laktat Ringer. Kedua-dua kumpulan menerima infusi sepanjang masa pembedahan sehingga empat jam selepas pembedahan. Aras glukos darah diambil tiga kali, iaitu semasa permulaan (baseline), 45 minit semasa pembedahan sedang berjalan, 30 minit dan empat jam selepas pembedahan menggunakan glukometer. Hasil kajian menunjukkan paras glukos darah min 1.5 mmol/L lebih tinggi pada pesakit Kumpulan 2 di antara empat jam selepas pembedahan dan permulaan, (baseline) berbanding dengan 0.96 mmol/L di kalangan pesakit Kumpulan 1. Walau bagaimanapun, statistik menunjukkan keputusan ini adalah tidak signifikan. Tidak terdapat perbezaan paras glukos min pada 30 minit bila dibezakan dengan permulaan (baseline). Paras glukos darah min menunjukkan kenaikan yang signifikan pada kedua-dua kumpulan selepas pembedahan apabila dibezakan dengan paras glukos di waktu permulaan. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa pesakit NIDDM yang menerima laktat Ringer mempunyai kenaikan paras glukos darah min yang lebih besar apabila dibezakan dengan pesakit yang menerima salin normal, akan tetapi, magnitudnya tidak signifikan dari segi statistik.
Kata Kunci :
diabetes melitus,
kawalan glisemik intraoperatif,
laktat Ringer,
salin normal.,