Abstrak
Alteplase adalah sejenis pengaktif plasminogen tisu (tPA) yang telah melalui proses bioteknologi rekombinan. Ia berfungsi dengan memangkin pertukaran plasminogen kepada plasmin untuk proses fibrinolisis dan biasanya digunakan untuk mengubati penyakit saluran darah tersumbat seperti strok. Walaupun ia jarang digunakan dalam bidang oftalmologi, kami ingin melaporkan keberkesanan pengaktif plasminogen tisu rekombinan (rtPA) untuk merawat keadaan mata yang mempunyai saliran anak mata tersumbat (pupillary block) disebabkan penyakit endoftalmitis. Kami membentangkan kes endoftamitis akut yang terjadi berikutan komplikasi pembedahan katarak. Pesakit mempunyai radang pada segmen anterior mata (anterior chamber) menyebabkan seklusio pupil (seclusion pupillae), gelemair terkumpul di belakang iris menolak iris ke depan (iris bombe), dan menyebabkan sentuhan iris-kornea (iridocorneal touch) 360 darjah. Satu jam selepas suntikan 2.5 mikrogram alteplase dalam 0.1 ml ke dalam gelemair mata, iris bombe dilihat telah hilang sepenuhnya, segmen anterior mata dilihat lebih dalam dan anak mata (pupil) kelihatan sedikit besar berbanding sebelumnya. Segmen anterior mata yang lebih jelas membolehkan pembedahan membuang gelemaca ‘pars plana vitrectomy’ dan pengeluaran kanta intraokular boleh dilakukan lantas memberikan penglihatan yang baik selepas pembedahan. Penemuan kami mencadangkan suntikan rtPA, iaitu alteplase pada segmen anterior mata adalah efektif untuk rawatan ‘pupillary block’ sekunder yang disebabkan oleh radang yang serius seperti kes endoftalmitis. Oleh itu, penggunaan rtPA adalah berguna untuk menggantikan kebiasaan penggunaan laser pada sisi iris (laser peripheral iridotomy) untuk merawat ‘pupillary block’, kerana rawatan laser boleh memburukkan keadaan inflamasi pada segmen anterior mata.
Kata Kunci :
endoftalmitis,
pengaktif plasminogen tisu,
segmen anterior,