Abstrak
Kanser payudara tripel-negatif (TNBC) ialah subjenis kanser payudara yang sangat kompleks dan menyumbang kepada 10-15% daripada semua kanser payudara yang didiagnos. Terdapat peningkatan rintangan TNBC terhadap kemoterapi konvensional dan terapi hormon kerana kekurangan reseptor estrogen (ER), reseptor progesteron (PR) dan ekspresi reseptor faktor pertumbuhan epidermis manusia -2 (HER2). Hubungan dan interaksi antara kedua-dua limfosit T CD4+ dan CD8+ adalah sangat penting untuk merangsang sistem imun adaptif semasa tindak balas imun anti-kanser. Kajian ini bertujuan untuk menentukan nisbah limfosit T CD4+ dan CD8+ dalam TNBC melalui ujian imunohistokimia dan mengkaji hubung kait antara limfosit penyusupan tumor (TIL) CD4+ dan CD8+ dengan kemandirian hidup. Kuantifikasi kedua-dua subset TIL melalui pewarnaan imunohistokimia dilakukan menggunakan mikroskop cahaya konvensional. Pelbagai jenis subset CD4+ dan CD8+ TIL ditemui dalam stroma intratumor TNBC dengan skor min populasi masing-masing antara 0.93 dan 0.53. Walau bagaimanapun, perbezaan purata populasi antara kedua-dua subset TIL adalah tidak signifikan secara keseluruhan (nilai P CD4+ = 0.484; CD8+ = 0.835) apabila dibanding secara statistik menggunakan ujian-t bebas. Nisbah CD4+/CD8+ dalam stroma intratumor adalah berkisar antara 0.50-5.88 di antara semua subspesies TNBC. Nisbah CD4+/CD8+ yang tinggi dalam stroma intratumor menunjukkan hubungan yang baik dengan hasil kemandirian hidup dalam susulan rawatan selama 2 tahun.
Kata Kunci :
biomarker prognostik,
CD4+,
CD8+,
kanser payudara tiga kali ganda negatif (TNBC),
limfosit penyusupan tumor (TILs),
patologi digital,