Abstrak
Anggota profesional kesihatan (HCP) di semua fasiliti kesihatan termasuk hospital-hospital awam di Malaysia perlu bekerjasama untuk memenuhi pelbagai keperluan penjagaan kesihatan. Setakat ini, masih belum ada kajian terperinci berkaitan kolaborasi sebegini di Malaysia. Tujuan kajian ini adalah untuk meneroka kolaborasi antara disiplin di Jabatan Perubatan (wad dan klinik) di sebuah hospital negeri. Empat perbincangan kumpulan berfokus (FGD) telah diadakan. Seorang pakar perubatan, pegawai perubatan, penyelia/ketua jururawat, jururawat terlatih, pegawai farmasi klinikal kanan dan pegawai farmasi muda telah menghadiri setiap FGD. Persampelan bertujuan digunakan untuk merekrut peserta (pencalonan oleh ketua jabatan). FGD dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris, tetapi maklum balas dalam Bahasa Melayu masih diterima dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris. Semua audio FGD dirakam, ditranskrip dan dianalisis secara tematik. Dalam tema kejelasan peranan, kebanyakan peserta berpendapat bahawa doktor mengetuai pengurusan pesakit, sementara jururawat bertugas memantau dan membantu pergerakan pesakit serta pemberian ubat-ubatan. Namun, sebilangan peserta kurang maklum tentang peranan pegawai farmasi. Majoriti percaya bahawa kolaborasi yang berkesan wujud, tetapi tidak mencukupi. Kemahiran komunikasi yang lemah, kekangan berkomunikasi, kekurangan kakitangan dan masa adalah penghalang untuk kolaborasi berkesan. Perbincangan yang lebih kerap antara disiplin dapat memupuk kolaborasi. Meskipun doktor menyedari terdapatnya perkhidmatan klinik kepatuhan terapi ubat-ubatan (MTAC) oleh pegawai farmasi, perkhidmatan kaunseling human immunodeficiency virus (HIV) dan pendidikan diabetes oleh jururawat, sebilangan jururawat dan pegawai farmasi tidak mengambil maklum perkhidmatan ditawarkan masing-masing. Untuk mengelakkan pertindihan tugas dan pembaziran sumber manusia, promosi perkhidmatan oleh setiap disiplin perlu dipertingkatkan di kalangan HCP.
Kata Kunci :
anggota kesihatan,
kerjasama antara sektor,
kumpulan berfokus,
Penyelidikan kualitatif,