Abstrak
Tujuan penyelidikan ini ialah untuk mengkaji tahap fungsi seksual di kalangan kaum wanita Malaysia yang rendah serta tinggi kekerapan aktiviti seks mereka, di peringkat primer. Satu kajian irisan lintang yang melibatkan 230 wanita Malaysia di peringkat primer telah dijalankan di klinik Bandar Tun Razak, Cheras. Soalselidik Indeks Fungsi Seks Wanita (Female Sexual Function Index) yang telah divalidasi ke Bahasa Melayu telah digunakan untuk menilai profil fungsi seksual wanita yang aktiviti seksnya rendah serta tinggi. Hampir setengah dari kaum wanita (44.3%) di dalam sampel kajian mengadakan hubungan seks 1 – 2 kali seminggu. Sementara hampir separuh daripada mereka (42.4%) mengadakan hubungan seks 1 – 2 kali sebulan atau kurang; dengan bilangan minoriti wanita (13.4%) mengadakan hubungan seks 3 – 4 kali seminggu.Wanita yang frekuensi seksnya rendah (SI Rendah) didapati megalami lebih banyak disfungsi seksual (χ²=28.98, p < 0.001) berbanding dengan golongan wanita yang suka melakukan hubungan seks (SI Tinggi). Golongan wanita yang tidak suka melakukan seks ( frekuensi hubungan seks iaitu ≤ 1 – 2 kali seminggu) didapati kurang terangsang dari segi seksual (χ²= 25.9, p< 0.001), kurang menikmati orgasme (χ²=19.8, p< 0.001), kurang mengeluarkan lendiran faraj sewaktu ghairah (χ²=11.1, p< 0.001), mengalami lebih kesakitan ketika melakukan seks (χ²=4.3, p = 0.033) dan mengalami kepuasan seks yang amat kurang (χ²=12.6, p< 0.001). Masalah disfungsi seksual di kalangan wanita amat memerlukan perhatian di peringkat penjagaan kesihatan primer. Penyelidik tidak pasti samada kekurangan seks atau masalah disfungsi seksual merupakan punca penyebab, tetapi hasil kajian ini amat penting untuk menggerakkan pakar perubatan melihat keperluan disfungsi seksual di kalangan wanita yang memerlukan bantuan.
Kata Kunci :
aktiviti seksual,
Disfungsi seksual wanita,