Abstrak
Pandemik COVID-19 ini telah menyebabkan peningkatan distres dan kesusahan di seluruh dunia. Pada masa ini, media sosial memainkan peranan yang amat penting dalam pengumpulan maklumat. Oleh itu, masa yang dihabiskan di media sosial telah meningkat secara drastik dan meningkatkan risiko ketagihan berkaitan dengan internet, seperti ketagihan media sosial. Kajian ini bertujuan untuk menubuhkan sebuah skala untuk mengukur ketagihan media sosial yang berkaitan dengan COVID-19 berdasarkan 'Bergen Social Media Addiction Scale' (BSMAS) bertujuan untuk mengenal pasti dan menilai individu yang berisiko tinggi. 'Social Media Addiction Scale for COVID-19 Pandemic' (SMACOP) diadaptasi dari BSMAS untuk disesuaikan ke dalam konteks COVID-19. Seterusnya, kajian rintis telah dijalankan ke atas 20 individu. Kemudian seramai 80 peserta direkrut melalui persampelan kemudahan dalam kalangan orang awam yang berada di sebuah universiti awam di Malaysia. Mereka terdiri daripada keluarga pesakit, pelawat atau kakitangan hospital. Kesahan konstruk dinilai melalui 'Insomnia Severity Index' (ISI), 'Generalized Anxiety Disorder 7' (GAD7) dan 'Patient Health Questionnaire' (PHQ9). Struktur dua faktor telah ditemui iaitu ‘Keinginan’ dan ‘Distress’. SMACOP menunjukkan kesahan dalaman yang baik (α = 0.64). Skor SMACOP berkorelasi secara positif dengan PHQ9, GAD7, dan ISI (p<0.01). SMACOP merupakan instrumen psikometrik yang mempunyai kesahan dan konsistensi dalaman yang tinggi. Skala ini amat diperlukan untuk menilai ketagihan media sosial yang berkaitan dengan COVID-19, terutamanya untuk mengenalpasti individu yang berisiko tinggi untuk gangguan mental seperti kemurungan.
Kata Kunci :
COVID-19,
Ketagihan media sosial,
pandemik,