Abstrak
Masalah gaya jalan dan keseimbangan adalah diantara sebab utama kejatuhan dikalangan warga tua dan sering menyebabkan kecederaan, ketidakupayaan dan kebergantungan. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat percanggahan di antara persepsi warga tua sendiri dengan penilaian doktor mengenai keupayaan diri untuk berjalan, keseimbangan dan risiko kejatuhan. Objektif kajian ini adalah untuk membandingkan diantara persepsi diri warga tua mengenai keupayaan berjalan, keseimbangan dan risiko kejatuhan dengan penilaian klinikal. Kajian ini merupakan kajian keratan lintang yang telah dijalankan di Klinik Kesihatan Primer dan melibatkan warga tua berumur > 60 tahun yang direkrut menggunakan persampelan rawak sistematik. Peserta telah mengisi sendiri borang yang mengandungi maklumat mengenai butir-butir diri dan soalan yang menilai persepsi diri mengenai keupayaan berjalan, keseimbangan dan risiko kejatuhan. Penilaian klinikal dijalankan menggunakan ‘Tinetti Performance Oriented Mobility Assessment’. Kebanyakan peserta menganggap diri mereka mempunyai keupayaan yang baik untuk berjalan (84.4%) dan daya keseimbangan baik (77%). Segelintir (11.5%) mengakui terdapat risiko untuk kejatuhan. Terdapat persetujuan/persamaan baik dari segi keupayaan berjalan (k:0.702, p:<0.001), persetujuan/persamaan sederhana mengenai keseimbangan (k:0.546, p:<0.001) dan persetujuan/persamaan lemah mengenai risiko kejatuhan (k:0.300, p<0.001). Regresi logistik berganda menunjukkan faktor-faktor yang mempengaruhi persepsi risiko kejatuhan adalah umur, mengalami strok dan pengambilan ubat psikotropik. Percanggahan telah didapati diantara persepsi diri dengan penilaian klinikal mengenai keseimbangan dan risiko kejatuhan. Peningkatan umur, sejarah mengalami strok dan ubat psikotropik didapati berkaitan dengan peningkatan persepsi risiko kejatuhan. Program intervensi dicadangkan perlu fokus terhadap meningkatkan kesedaran terutamanya dikalangan mereka yang mempunyai faktor-faktor tersebut.
Kata Kunci :
gaya berjalan,
kesimbangan,
penilaian klinikal,
penjagaan primer,
persepsi,
persetujuan,
warga tua,