Abstrak
Kebolehan membuat keputusan dalam rawatan merupakan salah satu kemahiran yang sangat penting untuk dimiliki oleh seseorang jururawat di dalam melaksanakan tugasannya. Tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui persepsi di kalangan pelajar kejururawatan akan kebolehan mereka membuat keputusan. Satu kajian-rentas diskriptif menilai tahap persepsi dalam kalangan pelajar kejururawatan telah dijalankan di sebuah hospital tertiari dengan menggunakan versi modifikasi Skala Membuat Keputusan Dalam Kejururawatan (SMKDK) diadaptasi dari Jenkins (1985). Seramai 54 orang pelajar kejururawatan telah mengambil bahagian di dalam kajian ini yang mana skor purata SMKDK yang baik iaitu sebanyak 124.24±12.713 telah direkodkan. Di dalam empat sub-skala SMKDK purata skor yang didapati adalah seperti berikut: mencari alternatif (33.24±4.821), mendapatkan bantuan (28.74±3.514), penilaian dan penilaian semula (31.43±3.922), dan mencari maklumat (30.83±4.765). Daripada bilangan pelajar tersebut hanya 19(35%) peserta telah memilih kejururawatan sebagai pilihan pertama. Juga didapati 37(69%) peserta berpuas hati dengan kompetensi kejururawatan mereka. Terdapat perbezaan yang signifikan di antara subskala mencari alternatif dan penilaian-penilaian-semula jika dibanding pada kumpulan yang memilih kejururawatan sebagai pilihan pertama (p< 0.05). Juga terdapat perbezaan yang signifikan di antara mencari alternatif berbanding puas hati terhadap kompetensi kejururawatan (p<0.05). Perbezaan yang signifikan juga ditunjukkan di antara tahap pendidikan berbanding mencari alternatif dan maklumat (p<0.05). Pelajar kejuruwatan menunjukkan persepsi bahawa mereka berkebolehan membuat keputusan yang baik. Walaupun bidang kejururawatan ini bukan pilihan pertama bagi kebanyakan pelajar tetapi kebolehan mereka mencari alternatif dan melakukan penilaian serta menilai semula membolehkan mereka berjaya dalam membuat keputusan yang baik. Kepuasan dalam bidang yang diceburi juga membantu di dalam membuat keputusan yang baik di dalam bidang jaga-rawatan kritikal ini.
Kata Kunci :
kejururawatan,
keputusan,
membuat,
pelajar,