Abstrak
Pembedahan revaskularisasi dan replant kadang-kadang memberi keputusan yang tidak memuaskan. Kami memaparkan dua kes amputasi jari separa. Kes pertama adalah pesakit lelaki berumur 11 tahun di mana jari hantu tengah telah terpintal di dalam mesin pembasuh baju dan tertarik putus hanya bersambung dengan otot flexor digitorum profundus. Kes kedua adalah pesakit lelaki berumur 42 tahun yang ditetak parang di tangan kirinya menyebabkan separa terputus jari kecil dan jari manis hanya bersambung dengan kulit selebar 2 cm. Kedua-dua pesakit menjalani pembedahan revaskularisasi satu arteri digital untuk setiap jari kerana arteri digital yang sepasang rosak. Vena digital tidak di perbaiki. Rawatan untuk kesesakan pendarahan vena dilakukan dengan mencucuk hujung jari dengan jarum enam kali sehari selama satu minggu. Pada 1 minggu selepas pembedahan, jari kelihatan hitam tetapi menpunyai bentuk yang baik dan kental bila dipicit serta mempunyai pendarahan merah arteri apabila dicucuk jarum. Pakar bedah yang kurang pengalaman mungkin menganggap ini adalah kematian jari dan ingin amputasi jari. Namun kami menunggu selama sebulan dan kelihatan kulit hitam jatuh dan di ganti kulit baru yang merah dan baik.
Kata Kunci :
amputasi,
hitam,
iskaemia,
pembedahan replant,
revaskularisasi,