Abstrak
Fraktur tangan di kalangan kumpulan pediatrik adalah masalah yang kerap berlaku di mana rawatan secepat mungkin adalah penting untuk fungsi yang baik. Namun demikian ramai yang berpendapat rawatan fraktur hanya tertumpu kepada tulang tanpa penglibatan tisu-tisu sekeliling. Prosedur menyucuk wayar Kirschner atau lebih dikenali “K-wiring” kadang-kadang agak rumit terutamanya jika terlalu banyak kali percubaan dilakukan sehingga boleh menyebabkan kecederaan otot tendon fleksor dan ekstensor dan seterusnya tisu melekat atau “adhesions”. Kami ingin menonjolkan kemungkinan berlaku komplikasi tisu melekat ini yang kami rasai kurang dilaporkan kerana ramai orang yang bersangka K-wiring ini adalah prosedur yang mudah. Kes yang dibentangkan adalah seorang budak lelaki berumur 9 tahun yang mengalami fraktur proksimal falanks (Salter Harris jenis 2) di jari telunjuk tangan kirinya. Fraktur ini bergerak dan lari agak banyak dan terpaksa dirawat dengan menyucuk K-wiring. Tetapi dia pula mengalami komplikasi otot tendon fleksor digitorum profundus (FDP) dan fleksor digitorum superfisialis (FDS) yang melekat dengan teruk. Dia langsung tidak boleh membengkok sendi proksimal dan distal phalangeal joint. Kami terpaksa membuat dua kali pembedahan meleraikan otot tendon yang melekat serta membuat puli A2 untuk mengembalikan pergerakan jarinya. Meletak wayar Kirschner ke dalam tulang jari tidak semestinya kaedah pembedahan tulang yang mudah kerana ia boleh membabitkan tisu lembut yang boleh melekat.
Kata Kunci :
falanks,
fraktur,
K-wiring,
lekatan tisu,
otot tendon fleksor,
proksimal,