Abstrak
Abses mastoid akut selalu ditemui dalam kerja seharian. Jangkitan ini sering berlaku di kalangan kanak-kanak terutama apabila rawatan yang diberikan tidak berkesan atau rawatan yang diberikan tidak mencukupi untuk menyembuhkan jangkitan tersebut. Beberapa penulis telah melaporkan bahawa otitis media kronik supuratif mungkin boleh menjadi punca jangkitan tetapi biasanya disebabkan kehadiran ‘cholesteatoma’. Di sini, dilaporkan kanak-kanak perempuan berumur 7 tahun yang telah mengalami abses mastoid akut. Kanak-kanak tersebut datang dengan pembengkakan belakang telinga kiri dan kesakitan telinga kiri yang teruk selama 3 hari. Dia juga didapati mengalami demam. Pemeriksaan telinga kirinya menunjukkan pembengkakan di belakang telinga dan dinding posterior lubang telinganya. Dia telah menjalani pembedahan kecemasan mastoid kortikal untuk mengeluarkan nanah dan beliau telah sembuh sepenuhnya. Kesimpulannya pesakit ini telah mendapat rawatan antibiotik yang tidak mencukupi yang meningkatkan risiko beliau untuk menghidapi gejala mastoiditis yang tersembunyi. Ini akhirnya mengakibatkan beliau mendapat abses mastoid. Sehubungan dengan itu kami mencadangkan agar semua pesakit yang mengidapi otitis media akut perlulah mendapat rawatan antibiotik selama sekurang-kurangnya seminggu.
Kata Kunci :
abses mastoid,
mastoiditis,
otitis media,