Abstrak
Diagnosis kanser payu dara di kalangan wanita Malaysia telah mendorong ramai wanita untuk mendapatkan rawatan daripada pelbagai pertubuhan kesihatan dan ianya merupakan satu amalan yang ketara di kalangan wanita Malaysia. Objektif kajian ini adalah untuk mengetahui sama ada penyembuhan adalah satu maklumat yang penting kepada wanita yang baru didiagnos dengan penyakit kanser payudara. Kajian ini juga, bertujuan untuk menilai sama ada maklumat mengenai penyembuhan dipengaruhi oleh variabel lain seperti kumpulan etnik, umur, tahap pendidikan dan kelas sosial. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini adalah kaedah temubual yang berstruktur dengan sembilan item maklumat, diberikan kepada 100 orang wanita yang baru didiagnos dengan kanser payudara. Wanita-wanita ini juga diminta memilih maklumat penting yang menjadi keutamaan. Kaedah Thurstone Scaling digunakan untuk menghasilkan profil maklumat mengikut pilihan dan skala nilai mengikut keutamaan. Analisis Varians (ANOVA) dan ujian-t telah digunakan untuk melihat perbezaan antara skor min. Keputusan kajian mendapati bahawa maklumat tentang kecenderungan ke arah penyembuhan mendapat keutamaan di kalangan responden. Hasil kajian juga mendapati tiada perbezaan yang signifikan di antara tahap pendidikan, kelas sosial, umur, serta kumpulan etnik dengan maklumat tentang penyembuhan. Kesimpulan kajian ini menjelaskan bahawa maklumat penyembuhan penting bagi wanita-wanita yang baru didiagnos dengan kanser payudara tanpa mengira kumpulan etnik, umur, tahap pendidikan dan kelas sosial. Hasil kajian ini dapat membantu para doktor dan jururawat memberi maklumat dan nasihat kepada wanita yang baru didiagnos dengan kanser payudara.
Kata Kunci :
Kanser payudara,
penyembuhan,